Sumber  : Yahoo Group : Roslan Mohd : keriswarisan : 
Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.
Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.
Reka bentuk tersebut memaparkan  kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan  semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah  tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang  Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi  tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran  udara yang secukupnya kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka  yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah  mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau,  Siam, Cina dan Barat.
Pada peringkat awal, rumah Melayu  tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat.  Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.
Ciri-ciri Rumah Melayu
1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari  bumbung tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau  dipanggil’  Bumbung Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung  sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang  tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir  melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.
2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan  berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di  luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat  mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka  dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan,  ini bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa  naik hingga ke anjung sahaja.
3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu  sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri  keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat  berkumpul ahli keluarga untuk beristirehat dan bersantai bersama-sama.
4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah  dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan  diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam  dalam kehidupan mereka.
5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama  dengan dapur. Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu  perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.
6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga,  dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu  kaya dengan seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai  seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk  untuk menceriakan rumah.
Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;
1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka  bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap  yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada  reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak,  berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah  rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.
2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar,  buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang  kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia atau nipah  menjadi dinding dan atap.
3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan  peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya  kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke  kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan  adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.
4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi  alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen  telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku  menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.
Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.
Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang  diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk  seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tetapi sayang, tradisi ini tidak  lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu kerana amat  sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.
Sumber: malaysiana, scribd.com, keriswarisan.com dan arkib negara Malaysia.


