Selamat Ulang Tahun
Hari ini, di angka sekian, aku bersyukur kepada Allah kerana masih diberi peluang bernafas, peluang untuk merasa dan menjalani hidup ini. Aku bersyukur dilahirkan dalam keluarga ini, yang menjadi tempat berteduh, belajar, dan mencintai. Alhamdulillah.
Mencapai usia ini, aku merenung perjalanan hidup. Betapa banyak perkara yang belum aku capai, belum aku pelajari. Di saat rakan-rakan sebayaku melangkah dengan yakin ke depan, aku terasa masih tertatih-tatih, mencari arah. Tapi semakin aku fikirkan, semakin aku sedar, perjalanan setiap orang itu berbeza.
Ada begitu banyak yang perlu aku kejar, tapi ada juga yang perlu aku lepaskan.
Ada begitu banyak yang perlu aku pelajari, tapi ada juga yang hanya perlu aku terima dengan ikhlas.
Ada begitu banyak kesabaran yang perlu aku tanamkan, kerana dalam diam, aku sendiri takut untuk berhadapan dengan masa hadapan.
Namun, Allah tidak pernah membiarkan aku sendirian. Dia menghadirkan sahabat-sahabat yang selalu menyokong, yang menjadi penguat ketika aku hampir menyerah. Mereka yang memahami tanpa perlu aku berkata, yang setia memberi semangat walaupun aku tak pandai menunjukkan rasa terima kasih dengan jelas.
Aku akui, aku bukanlah orang yang mudah menunjukkan rasa sayang. Aku tidak pandai beramah mesra seperti orang lain. Kadang-kadang, rasa cemburu hadir bila melihat orang lain begitu mesra, begitu ringan menyatakan kasih sayang. Aku ingin seperti itu. Tapi, aku tahu, setiap orang punya cara tersendiri untuk mencintai dan menghargai. Dan itu tidak salah.
Ada satu perkataan tu aku terbaca, tapi lupa dari mana:
Jangan terlalu tenggelam dalam ketakutan. Jika kita terus takut, kita akan lupa untuk meraikan. Dan hidup ini, sekecil apa pun langkahnya, adalah sesuatu yang layak diraikan
No comments:
Post a Comment