Visitors

14 September 2009

malam 7 (tujuh ) likur


Kini, pelita api bagai telah menjadi suatu yang “tradisional”. Mengapa? Sebab rata-rata rakyat malaysia kini lebih gemar menggunakan lampu kelip-kelip berbanding memasang pelita. Mungkin kerana sukar untuk mendapat bekalan minyak tanah ataupun sebab harga minyak dah naik? mybe..lah

Apa pun.. biarlah kemeriahan yang kita raikan ini tidak menjauhkan kita daripada mengingatiNya dan tidak mensia-siakan sebulan Ramadhan yang kian berlalu ini..

Semoga hari raya aidilifitri ini akan mengingatkan kita kepada fitrah kita semula.

______________________________

Itu pendapat saya lah..ni ade sedikit..maklumat yang saya amik dari satu laman web berkenaan Malam tujuh likur : http://www.saujanautama3.com/?p=405

"Tiga perspektif berbeza malam tujuh likur"

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Falsafah masyarakt Islam di sebalik budaya Ramadan

MALAM tujuh likur yang menjadi sebahagian daripada budaya setempat pada setiap Ramadan di negara ini menyimpan sejumlah tafsiran dengan sesetengahnya dikaitkan dengan kepercayaan India, Melayu dan Islam.

Ada pihak yang mengaitkannya dengan amalan masyarakat Hindu yang menerangi rumah untuk menyambut Dewi Lakshmi (Dewi Kekayaan) masuk ke rumah pada malam Deepavali manakala daripada sudut budaya Melayu ia bertujuan menerangkan perjalanan jemaah ke surau atau masjid.

Sudut agama pula, malam tujuh likur sering dikaitkan dengan Lailatulqadar iaitu detik keemasan untuk individu Muslim merebut syurga apabila malaikat dan Jibril akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah.

Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman yang melalui zaman kanak-kanak di kampung berpeluang menyaksikan malam tujuh likur sebagai hari masyarakat desa menyiapkan juadah sebelum Syawal.

“Lazimnya beberapa rumah berhampiran akan bersatu tenaga menyediakan juadah seperti dodol dan meminta bantuan kanak-kanak untuk menumbuk gula mahupun tepung menggunakan lesung kaki selain bergilir-gilir mengacau kerana ia mengambil masa panjang untuk dimasak,” katanya.

Berhubung tradisi memasang panjut pada masa itu, ia dikatakan bagi membantu mereka yang menuju ke surau atau masjid bagi menunaikan tarawih kerana suasana pada malam terlalu gelap dan mungkin membahayakan keselamatan.

“Orang kampung memasang panjut sepanjang Ramadan sebenarnya sebagai simbol meraikan bulan mulia itu dan menjadi penyeri setiap rumah kerana kami tiada kemudahan elektrik seperti hari ini,” katanya pada pertemuan dengan Sastera, baru-baru ini.

Malam tujuh likur turut meninggalkan nostalgia kenakalan zaman kanak-kanaknya bersama-sama rakan sekampung yang gemar menyakat penduduk kampung terutama golongan tua terutama ketika mereka pergi menunaikan tarawih.

“Saya dan rakan-rakan sering mengusik orang kampung dengan mengikat ‘mercun tarik’ pada selipar dan basikal ketika mereka menunaikan solat tarawih di surau. Gelagat penduduk kampung yang menjerit dan melatah apabila mercun meletup, menggembirakan kami,” ujarnya.

Dr Nor Hisham mengakui pada zaman kanak-kanaknya sebahagian besar daripada mereka menggunakan tarawih sebagai alasan untuk keluar bermain polis sentri dan menikmati moreh tanpa menunaikan sembahyang sunat terbabit.

“Kenakalan ‘geng’ kami sudah diketahui penduduk kampung dan mereka tahu segala kegiatan yang lazim dilakukan terutama pada malam tujuh likur meskipun ada kalanya tak terfikirkan orang dewasa, tetapi ia memeriahkan suasana Ramadan di kampung saya,” ujarnya.

Pereka Grafik, Jabatan Multimedia dan Korporat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rosli Mahmood, pula berkongsi pengalaman tujuh likur di Sungai Besar sekitar 1985 apabila beliau dan rakan-rakan dikejar penduduk kampung kerana kenakalan mereka.

“Jiwa muda yang gemar bermain dan mengusik menyebabkan saya dan rakan-rakan mengetuk beduk di surau bermula jam 12 hingga 3 pagi sampai menimbulkan kemarahan orang kampung. Walaupun dikejar dan dimarahi penduduk, kami tidak pernah rasa takut malah berasa puas hati,” katanya sambil tersenyum mengingatkan peristiwa itu.

Selain mengetuk beduk, Rosli dan rakan-rakannya juga membuat panjut dan membina pintu gerbang menggunakan bahan semula jadi dan terbuang seperti tin susu dan batang buluh berdasarkan kreativiti mereka.

Baginya pengalaman malam tujuh likur pada ketika itu tidak mungkin dinikmati generasi kini kerana ia tidak lagi menjadi sebahagian daripada budaya mereka, walaupun masih ada sesetengah kawasan mengamalkannya, ia tetap tidak setanding kemeriahan masyarakat dulu.

“Sungguh pun demikian, saya juga mengisi masa dengan aktiviti sampingan yang lebih berfaedah seperti menjual ais batu dan pelbagai jenis buah-buahan untuk mengumpul duit bagi membeli kasut dan baju untuk menyambut Aidilfitri,” ujarnya.

Source : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20080918091318/Article/index_html

No comments:

Post a Comment